SELANGOR

Jadi penjawat awam contoh terbaik ikutan negeri lain

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 29 JAN: Penjawat awam Selangor perlu menjadi ikutan sebagai contoh terbaik kepada penjawat awam di negeri lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia sekali gus dapat melahirkan penjawat awam yang ‘smart’ kepada Kerajaan Negeri.

“Saya percaya akan lahirnya ‘smart civil servants’ yang menjadi tunggak negeri Selangor.

“Dengan ini, saya turut melahirkan penghargaan kepada semua pegawai daerah dan tanah kerana menaikkan Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators-KPI) sebanyak RM1.54 bilion pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Perhimpunan itu dihoskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohd Amin berkata, pencapaian memberangsangkan Selangor membuktikan hasil keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai agenda dan inisiatif berkesan bagi memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan mampan.

“Ini menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri berdaya huni. Bak kata pepatah “di mana kelintung berbunyi, di situ kerbau diam” yang bermaksud di mana ada pemerintah yang baik, di situlah rakyat hidup rukun dan harmoni.

“Perkara ini dapat dibuktikan dengan jumlah penduduk di Selangor yang dianggarkan sebanyak enam juta iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia pada 2017,” katanya.

Katanya, dengan peluang pekerjaan dan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat menjadikan Selangor kekal sebagai negeri yang makmur dan berkebajikan.

=EZY=


Pengarang :