SELANGOR

JAIS digesa semak semula dasar pendidikan Islam

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) digesa menyemak semula dasar pendidikan Islam di Selangor khususnya maahad tahfiz persendirian yang semakin bercambah tanpa kawalan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hal ini berikutan memastikan kira-kira 17,440 pelajar sekolah tahfiz persendirian untuk turut sama berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Usaha pemberdayaan pengajian dan pendidikan agama Islam secara holistik bertujuan supaya generasi muda memiliki keseimbangan antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

“Dalam mencapai matlamat ini, institusi agama mesti menyediakan kurikulum yang relevan dan menjamin masa depan anak-anak itu untuk memiliki kemahiran dan ilmu bagi kerjaya yang mempunyai daya saing dalam pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di sini, semalam.

Sehubungan dengan itu, Shamsidar berkata, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mencadangkan supaya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) memperluaskan program smart tahfiz dan program bimbingan huffaz (B-Faz) bertujuan menyediakan pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki SPM.

Katanya, program ini membolehkan graduan tahfiz ini menyambung pelajaran mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

Shamshida turut menekankan aspek keselamatan yang wajib diberi perhatian oleh pengurusan maahad tahfiz dengan mematuhi semua piawaian keselamatan.

“Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2018 mencadangkan RM2 juta diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf maahad tahfiz persendirian yang kini menempatan 17,440 murid di 262 buah maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIS sehingga Oktober 2017,” katanya lagi.


Pengarang :