SELANGOR

Jalan ke Bristol (B25) ditutup

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Laluan ke Jalan Bristol (B25) ditutup serta merta sejak beberapa hari lalu berikutan insiden kereta terbabas.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim berkata, pihaknya masih belum memutuskan tarikh ia dibuka semula.

Katanya, jalan berkenaan terletak di lokasi sempadan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) di hadapan Kilang Lafarge Rawang dan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Kuang.

“Struktur jalan itu berisiko kerana tidak diselenggara dan terdapat kejadian tanah runtuh berlaku, sejak beberapa tahun lalu.

“Perhatian dan tindakan perlu diambil walaupun status jalan adalah tanah persendirian tambahan ia turut digunakan orang awam,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Gombak berkata, jalan berkenaan hanya akan dibuka selepas disahkan selamat JKR Gombak.

Terdahulu, penutupan jalan mula dilaksana bermula jam 5.30 petang sebelum notis pemberitahuan diedarkan.

Selain digunakan kenderaan berat, ia turut digunakan penduduk Kuang untuk menuju ke Pekan Rawang.

Untuk makluman orang ramai, jalan alternatif lain yang boleh digunakan penduduk adalah Lebuhraya Latar dan Jalan Rawang-Batu Arang.


Pengarang :