BERITA UTAMASELANGOR

Jangan campur aduk hal politik isu Stadium Shah Alam

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri menyeru kepada sesetengah pihak supaya tidak mempolitikkan isu penggunaan Stadium Shah Alam yang sering berbangkit sebelum sepak Liga Super bermula terutama dua tahun terakhir ini.

Exco Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, sebarang keputusan serta polisi yang diambil kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) adalah untuk menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan peminat tegar Merah Kuning.

“Tuduhan mengatakan bahawa tindakan yang diambil itu mempunyai motivasi politik dan bersifat dendam adalah fitnah, selain taktik terbabit digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran FAS sendiri.

“FAS dan segelintir individu yang ingin bermain politik tidak seharusnya memanipulasi sentimen penyokong dengan menjadi batu api dan menyogokkan maklumat tidak tepat untuk menyalahkan Kerajaan Negeri,”katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memberikan tumpuan utama dalam pembangunan bola sepak dan sentiasa berusaha membawa perubahan malah ia terbukti apabila pasukan Merah Kuning berjaya menamatkan kemarau panjang dengan menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2015, sekali gus berjaya mencapai Misi 33.

“Usaha untuk terus membawa perubahan dan kemajuan itu, malahan ia ditentang segelintir pimpinan FAS yang pernah melakukan tindakan biadab keluar daripada mesyuarat dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tindakan biadab itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Mohamed Azmin adalah Presiden FAS dan Dato’ Menteri Besar kepada Kerajaan Negeri, malahan beliau banyak memberi sumbangan kepada FAS, selama ini,”katanya.

Amirudin berkata, disebabkan hal itu Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menarik balik segala kemudahan serta bantuan terhadap FAS.

“Kerajaan Negeri tidak pernah bersikap pilih kasih dan bermain politik demi kelangsungan pembangunan sukan, di negeri ini.

“Rakyat mengetahui bahawa Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam menaik taraf Stadium Shah Alam untuk kegunaan Sukan SEA ke-19 lalu dan bertindak menyalurkan RM600,000 dengan kadar segera demi kegunaan pasukan Harimau Malaya dari perlawanan pertama, sehingga mara ke peringkat akhir.

“Adakah ini membuktikan Kerajaan Negeri mengamalkan sikap politik dalam sukan? Sedangkan jelas dan terang, hampir setiap kredit kejayaan ini ditempa pihak lain, namun itu bukan soalnya dalam pembangunan sukan dan kejayaan pasukan negara, “katanya.

Sementara itu, Amirudin turut mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri antara yang memberi dana paling banyak kepada persatuan bola sepak berbanding negeri lain kerana menyedari kepentingan serta nilainya sukan berkenaan kepada rakyat, namun FAS gagal memahami dan bertindak sewajarnya.

“Di Selangor, masih terdapat persatuan yang diketuai ahli berlainan fahaman politik dengan Kerajaan Negeri tetapi masih dibantu dan mendapat kerjasama baik daripada kami.

“Jelas, perbezaan fahaman politik tidak pernah menjadi agenda dan motivasi Kerajaan Negeri dalam membangunkan sukan seperti bola sepak,” katanya.

Terdahulu, FAS tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor apabila bertindak memboikot dan enggan melepaskan beberapa pemain Selangor menyertai Pilihan Selangor, pada Piala Sultan Selangor 2017.

Amirudin berkata, hal itu amat mendukacitakan kerana FAS harus sedar bahawa kejohanan berkenaan mempunyai nostalgia tersendiri kepada Sultan Selangor.

“Peristiwa itu menunjukkan sikap FAS yang biadab serta tidak bertimbang rasa, namun pada masa sama merasakan bahawa mereka berhak untuk menuntut dana kewangan dan meminta penggunaan aset Kerajaan Negeri.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat usaha dari Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor untuk menyelesaikan perkara ini dengan FAS, namun seperti biasa FAS tidak melunaskan janji diberikan, malahan tidak memberi respon balas dan bertanggungjawab kepada Raja Muda Selangor,”katanya.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri masih memberi peluang kepada FAS untuk menggunakan Stadium Selayang sebagai ‘home gorund’ Pasukan Liga Super Selangor dan Stadium Sepang untuk Pasukan Belia Selangor, tahun lalu.

“Kerajaan Negeri boleh mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menyekat akses FAS, namun masih mempunyai kepercayaan dan ingin memberi peluang kepada mereka,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memahami kemarahan dan kekecewaan penyokong setia Merah Kuning tetapi mengapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan FAS menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil, sedangkan FAS sudah membuat pengumuman awal tentang penggunaannya.

“Adakah peminat mahu menyatakan ini juga sebagai bermotifkan politik? Mengapakah DYAM Tengku Mahkota Johor selaku Presiden FAM tidak membenarkan FAS menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil, sedangkan Dato’ Seri Subahan Kamal adalah salah seorang Timbalan Presiden FAM? Adakah wujud sesuatu isu yang kita belum tahu?, “soal Amirudin.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri bertegas bahawa mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan kejurulatihan, pemain Selangor apatah lagi penyokong setia pasukan The Red Giants.

“Kami sentiasa bersedia untuk berunding dengan FA, namun pengabaian yang dilakukan mereka dan tidak mahu mengaku kebiadaban serta kesalahan, maka terpaksa mengambil keputusan tegas juga tidak popular.

“Namun, demi menjaga maruah dan nilai sebuah pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendukung rakyat kebenaran yang pahit ini harus ditelan. Komitmen ini turut saya nyatakan di Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika bersidang,” katanya.

Amirudin berkata, kepimpinan FAS perlu meletakkan jawatan sekiranya pentadbiran sekarang tidak mampu mengakui kesilapan, meminta maaf dan sedia berubah seterusnya berunding dengan baik, malahan menggunakan penyokong yang tidak diberikan fakta juga kronologi tepat serta melancarkan ancaman berbentuk politik, di media sosial.

“Besar kemungkinan pada masa itu, Kerajaan Negeri bersedia membuka pintu rundingan dengan hati terbuka dan hasrat pembangunan sukan bola sepak mampu dilaksanakan. Kami bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya FAS dirombak demi Merah Kuning lambang kebanggaan kita,” katanya.


Pengarang :