SENI

Jangan guna media sosial luah perkara tidak betul

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 23 JAN: Tinggal di negara yang mengamalkan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara bukan jaminan atau tiket kepada masyarakat untuk melemparkan kritikan melampau, di media sosial.

Penyanyi, Nabila Razali berkata, netizen harus menggunakan media sosial sebaik mungkin, tanpa perlu memuat naik status atau kecaman kepada selebriti atau individu tertentu.

Pelantun lagu Pematah Hati itu berkata, peranan media sosial harus dimanfaatkan netizen secara berhemah dan positif.

“Ada orang (netizen) fikir mereka itu betul dan semudahnya menulis itu dan ini di laman sosial. Bagi saya, itu tidak betul.

“Orang awam tidak sepatutnya menggunakan media sosial sewenang-wenangnya untuk luahkan perasaan mereka tetapi fahami sesuatu isu dan barulah boleh menilai perkara yang terjadi, bukan buat dakwaan bersifat sesuka hati,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas kenyataan pengguna media sosial yang mengkritik persembahan penyanyi itu bersama pelakon kontroversi, Iqram Dinzly dalam satu majlis, baru-baru ini.

Pada persembahan itu, dilaporkan Iqram Dinzly didakwa memakai pakaian jubah ala ulama Islam dengan persembahan tarian melampau, yang akhirnya mengundang kecaman netizen.

Menurut netizen, Nabila turut didakwa seolah tidak sensitif dengan perilaku Iqram yang sebelum ini tular susulan beberapa video ‘pelik’ di Instagramnya.

Meyangkal dakwaan berkenaan kata Nabila, dirinya tidak tahu menahu langsung kemunculan Iqram, pada persembahan itu.

“Saya hanya mula sedar kemunculan Iqram apabila penonton beralih pandangan kepada beliau dan atas sikap profesional, saya teruskan persembahan pada majlis itu.

“Selebihnya saya tidak tahu-menahu langsung adakah ia sebahagian daripada atur cara persembahan penganjur atau tidak,” katanya.

Terdahulu, bekas bintang Akademi Fantasia itu ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Tudung AliffbySha V Five Inspirer Woman, di Damansara, petang ini.

Pelancaran itu menyaksikan Nabila dipilih memperagakan koleksi tudung Nafeesa dan Naaila.


Pengarang :