Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3, memenangi Anugerah Keseluruhan Terbaik pada majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2017. GAMBAR OLEH: MUHAMMAD ASRI SAPFIE
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

JKP Zon 3 menang Anugerah Keseluruhan Terbaik JKP MPSJ 2017

OLEH: SABIRAH AZIZ

GAMBAR OLEH: MUHAMMAD ASRI SAPFIE

SHAH ALAM, 13 JAN: Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3, memenangi Anugerah Keseluruhan Terbaik pada majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2017.

Anugerah disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh diiringi Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

JKP Zon 3 menerima hadiah RM5,000, piala dan sijil manakala JKP Zon 10 pula memenangi Anugerah Zon Bersih Keseluruhan Terbaik dan membawa pulang RM3,000, piala, plak dan sijil.

Pada majlis itu, Hannah berkata, MPSJ adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tempatan terbaik di Selangor.

Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3, memenangi Anugerah Keseluruhan Terbaik pada majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2017. GAMBAR OLEH: MUHAMMAD ASRI SAPFIE

“MPSJ juga berjaya mengekalkan status lima bintang dan antara PBT yang kurang dibangkitkan isunya di Dewan Negeri Selangor.

“Saya juga berbangga dengan MPSJ kerana menjadi PBT yang bersih, tiada isu denggi dan kurang masalah sumber bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis itu di Hotel Grand Bluewave, malam tadi.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dan ADN Kinrara, Ng Sze Han.

Sementara itu, Noraini berkata, dalam tempoh 20 tahun, MPSJ banyak melakar sejarah dengan kejayaan dan pengiktirafan di pelbagai peringkat.

“MPSJ telah menerima 50 anugerah di peringkat negeri, 36 di peringkat kebangsaan dan 13 di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama dan hubungan erat antara MPSJ dan JKP.

“Diharapkan jalinan ini berterusan bagi membolehkan setiap perkhidmatan disalurkan diterima setiap lapisan masyarakat,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :