SENI

Karyawan sasar kumpul dana RM50,000 bantu artis veteran

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mensasarkan kutipan dana sebanyak RM50,000 sempena penganjuran Malam Nostalgia Lagenda siri kedua, yang berlangsung di WOWKL! pada 27 Januari ini.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, acara itu bertujuan membantu artis-artis veteran yang kekurangan tempat untuk mengadakan persembahan serta meningkatkan pendapatan mereka.

“Bagi penganjuran kali pertama pada 10 Disember lalu, kami berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM25,000 dan berharap kutipan akan meningkat pada kali ini.

“Acara seumpama ini dilihat dapat membuka peluang kepada nama-nama besar terdahulu untuk meneruskan kerjaya seni mereka di mana sesetengahnya kini amat jarang mendapat tawaran mengadakan persembahan pentas.

“Ia juga bagi mengutip dana tabung kebajikan persatuan untuk membantu artis-artis memerlukan,” katanya dalam sidang media Malam Nostalgia Lagenda siri kedua di WOWKL! semalam.

Malam Nostalgia Lagenda siri kedua anjuran Karyawan dan RR Charity Lane dengan kerjasama WOWKL! akan menampilkan persembahan dari bintang-bintang dipilih iaitu Rahimah Rahim, Mimiloma, Norlia Ghani, A.Rozaini, S.Rohani serta artis veteran India V. Sarangapani.

Dalam sidang media itu, Karyawan turut memberikan sumbangan hasil kutipan penjualan meja siri pertama Malam Nostalgia Lagenda kepada Hamid Gurkha, Connie, Norlia Ghani dan Mimiloma.

Freddie berkata, bagi meneruskan usaha membantu lebih ramai lagi artis yang memerlukan bantuan, Karyawan kini sedang merencanakan beberapa program untuk membantu mereka pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengasas RR Charity Lane, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah berkata, sebagai penganjur, pihaknya berharap orang ramai dapat menyokong dan membantu artis-artis veteran tersebut.

“Kami juga ada perancangan untuk mempromosikan acara ini dengan lebih meluas melalui pelbagai medium namun perlu mengukuhkan identiti terlebih dahulu. Semoga usaha untuk menjual tiket acara ini akan berjaya,” katanya.


Pengarang :