SELANGOR

KDEBWM bekal 52 lori RORO, mudah kerja pembersihan sampah pukal MPAJ

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JAN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan menyediakan sejumlah 52 lori Roll On Roll Off (RORO) bagi memudahkan kutipan pembersihan sampah pukal di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hujung bulan ini.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, setakat ini KDEBWM menyediakan 46 lori kompaktor bagi memudahkan kegunaan kutipan sisa pepejal dan domestik sahaja.

“Oleh kerana, kutipan sampah pukal tidak boleh menggunakan kompaktor yang ada, jadi kita menyediakan lori RORO untuk kutipan sampah pukal di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ.

“Ini bagi melancarkan operasi kutipan pembersihan sampah pukal di sini bagi terus memberi keyakinan penduduk sekitar terhadap perkhidmatan ditawarkan KDEBWM,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ramli berkata hanya terdapat empat aduan bagi sisa domestik pada Disember lalu berbanding 225 aduan pada Mac, manakala 126 aduan bagi pembersihan pukal.

Untuk rekod, Disember lalu, KDEBWM merekodkan kutipan sejumlah 13995.75 tan sampah dengan purata harian kutipan sebanyak 451.5 tan.

Terdahulu, KDEBWM mengambil alih 100 peratus kerja pembersihan awam di kawasan pentadbiran MPAJ.

Pada Julai 2016, KDEBWM mula menggalas tanggungjawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan berjaya mengurangkan jumlah aduan daripada 800 sehingga tujuh, pada Jun lalu.

Pada 1 Mac 2017, KDEBWM mula mengambil alih pembersihan awam di MPK secara berperingkat.

Pada masa sama, KDEBWM diberi tanggungajawab mengambil alih pengurusan sisa pepejal di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

KDEBWM adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) yang bertanggungjawab sebagai koordinator pengurusan projek di kawasan pentadbiran MPK, MPAJ dan MPS.


Pengarang :