NASIONAL

KEADILAN soal Mahdzir, “betulkah undi itu betul-betul rahsia?”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Amaran dakwaan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada para guru supaya tidak mengundi pembangkang dalam pilihan raya menimbulkan persoalan terhadap tahap kerahsiaan undi yang dibuat pemilih.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Mahdzir itu membayangkan seolah-olah beliau memiliki akses untuk menyemak undian yang dibuat pemilih di kalangan warga pendidik.

“Bagi saya sendiri, semestinya undi itu cukup rahsia. Sekiranya semua berjalan seperti yang diberitahu kepada parti-parti politik oleh pihak SPR, maka tidak mungkin diketahui siapa mengundi parti mana.

“Bagaimanapun kenyataan Mahdzir menimbulkan tandatanya, apakah proses pengundian di kawasan parlimen beliau membenarkan beliau sendiri mengetahui siapa mengundi parti mana? Jika betul, ini melanggar semangat demokrasi dan kerahsiaan undi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, kecurangan Mahdzir ini memberi alasan kukuh untuk warga Padang Terap untuk menolak beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Katanya, sukar untuk rakyat mempercayai bahawa Mahdzir mengeluarkan kenyataan itu disebabkan beliau tidak memahami proses pengundian.

“Kenyataan Mahdzir Khalid ini amat tidak membantu Barisan Nasional (BN) dan kita saksikan betapa netizen cukup marah bila terima ugutan seperti ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :