SELANGOR

Keluarga asnaf akan dibantu dapat rumah sewa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JAN: Keluarga asnaf fakir miskin yang dihalau dari rumah, di Pangsapuri Pandan Jaya, dekat sini, tempoh hari akan dibantu bagi mendapatkan kediaman sesuai dalam tempoh terdekat.

Pegawai Khas ADN Chempaka, Hafiz Razak berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Chempaka akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.

“Kami akan cuba menawarkan mereka rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, di Shah Alam untuk mereka duduki buat sementara waktu.

“Kami juga akan memantau dan membantu keluarga berkaitan dari segi kewangan dan keperluan sehingga mereka berjaya memiliki rumah untuk diduduki,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluarga itu pernah diberi bantuan wang ringgit dan barang dapur oleh Pejabat ADN Chempaka bagi meringankan beban.

Katanya, mereka juga mendapat bantuan daripada Pusat Zakat Selangor untuk membiayai sewa rumah.

“Keluarga ini pernah ditawarkan rumah PPR DBKL tetapi menolaknya atas faktor kawasan jauh dari sekolah anak mereka di Pandan Jaya,” katanya.

Keluarga berkaitan iaitu Yusaini Pungut, 39, bersama isteri dan enam anaknya diarah keluar atas beberapa masalah dengan tuan rumah.

Sebelum ini, mereka dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan ditempatkan sementara, di bilik penginapan Masjid Al Azim Pandan Indah, Ampang, dekat sini.

Tindakan itu dilakukan bagi mendapatkan rumah sewa baru untuk mereka.


Pengarang :