SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Keluarga asnaf pindah rumah sewa baru

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 JAN: Keluarga asnaf fakir miskin, Yusaini Pungut, 39, yang diminta keluar dari rumah sewa lamanya, baru-baru ini selamat berpindah ke rumah sewa baru, pada Ahad lalu.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan, keluarga itu dipindahkan di kawasan Taman Cahaya, Ampang dengan sewa rumah dibiayai sepenuhnya institusi terbabit.

Terdahulu, mereka ditempatkan sementara di bilik penginapan Masjid Al Azim Pandan Indah, Ampang bagi mendapatkan rumah sewa baru.

Yusaini dan isteri bersama enam anaknya berusia tiga hingga 11 tahun adalah asnaf fakir miskin berdaftar dan menerima bantuan daripada LZS.

Antara bantuan diterima adalah dalam bentuk sewa rumah (RM600 sebulan), kewangan bulanan (RM500 sebulan), makanan bulanan, pendidikan sekolah anak dan bantuan hari raya.

Keluarga itu juga akan terus dibantu berdasarkan keperluan dan syarat kelayakan selain dipantau LZS.

Sebelum ini, nasib keluarga Yusaini menjadi perhatian apabila mereka diminta keluar dari rumah sewa lama, di Pangsapuri Pandan Jaya, Ampang yang turut dibiayai LZS.

Difahamkan, keluarga Yusaini menerima notis untuk berpindah sejak sebulan lalu, namun gagal berbuat demikian.

 


Pengarang :