NASIONAL

Kerja perobohan dua tol akan disegerakan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Kementerian Kerja Raya akan menyegerakan kerja merobohkan plaza tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengendali lebuh raya terbabit, PLUS juga sudah mengeluarkan tender kepada kontraktor bagi menguruskan kerja merobohkan pondok tol.

“Memang kita akan robohkan (binaan plaza tol) selepas dua tol itu dimansuhkan. Kita harap kerja ini dapat disegerakan.

“Memang kita akui plaza tol sedia ada ketika ini adakalanya menghalang kelancaran lalu lintas dan menjejaskan keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Penempatan Pekerja (CLAB) CLQ V, laporan Berita Harian Online.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor di samping tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.


Pengarang :