OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 19 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kerja perobohan struktur bangunan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selesai penghujung Mac ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, proses melantik kontraktor bermula sejak Disember lalu dan ketika ini, PLUS sedang memuktamadkan pemilihan kontraktor untuk melaksanakan kerja perobohan.
“Kontraktor akan memulakan kerja perobohan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
“Ini ekoran semua kerja terbabit perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan ia dilaksanakan di dalam persekitaran lalu lintas yang sentiasa bergerak,” katanya.
Azman berkata, kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset lain akan dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum kerja perobohan struktur fizikal bermula.
Justeru, pemandu dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan serta mematuhi semua papan tanda keselamatan dan lebih berhati-hati ketika menghampiri kedua plaza tol berkenaan.
“PLUS tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan ketika kerja terbabit dijalankan,” katanya.