NASIONAL

Kesuburan demokrasi berkempen belum dirasai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JAN: Kesuburan demokrasi dalam berkempen menjelang Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) masih belum dirasai walaupun 60 tahun negara mencapai Kemerdekaan.

Timbalan Pengerusi Institusi Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan berkata, ketika ini parti pemerintah sarat dengan pelbagai kempen khususnya di media arus perdana.

Bagaimanapun, parti pembangkang masih belum diberi peluang berkempen dan terpaksa mengekalkan kempen ceramah setiap malam.

“Tengok parti pemerintah, sebagai contoh jika muka Tun M dalam TV, tak buka suara pun kita dah tahu isu apa.

“Kalau begini caranya, rakyat tidak punyai pilihan. Begitu juga parti pembangkang, mereka akan gunakan platform ceramah sebagai cara berkempen,” katanya dalam temubual di FB Live baru-baru ini.

Mohammad Redzuan berkata adalah satu perkara yang memalukan kepada Malaysia yang sepatutnya dijadikan contoh pada negara lain yang baru mencapai kemerdekaan.

“Kalau kita baru mencapai merdeka tak apa. Ini buat malu saja. Sudah 60 tahun merdeka, nak tunggu sampai bila lagi?,” soalnya.

Mengambil contoh Singapura, katanya, negara itu memberi peluang selama 20 minit setiap parti untuk berkempen dan pada hari terakhir, setiap parti tidak boleh berkempen lagi.

“Parti Pembangkang kita tidak ada peluang. Kalau keluar TV itu cerita tidak baik.

“Pada PRU 13, ketika Barisan Nasional mengumumkan manifesto, semua saluran TV siarkan dari jam 8 hingga 11 malam.

“Adakah itu keadilan? Ini adalah masalah dan tidak wajar lagi dilakukan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :