Selangorkini
SELANGOR

Khabar gembira buat petani Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Selangor bakal memperkenalkan inisiatif berkebajikan baru kepada golongan petani, di seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bakal dilaksanakan menerusi sistem takaful sebagai inisiatif memastikan golongan petani negeri dibantu.

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan skim pelindungan takaful kepada 10,000 pesawah untuk melindungi perjuangan hidup golongan ini yang membanting tulang menjamin bekalan hasil tani negeri terus mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26 juta bagi tujuan pembiayaan industri pertanian negeri dengan RM12.94 juta diperuntukkan bagi tujuan peningkatan produk tani.

Ia termasuk penambahan pengeluaran tanaman padi, kelapa, buah-buahan, sayuran, herba, florikultur, akuakultur dan ternakan.

Jumlah berkenaan meliputi nilai perbelanjaan Belanjawan Negeri bagi tempoh 2018.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberdayaan nelayan, petani, penternak dan pesawah melalui program latihan dan bantuan peralatan dengan peruntukan RM 7.1 juta setahun.


Pengarang :