BERITA UTAMASELANGOR

KISS: Inisiatif RM72 juta, Selangor dahului komitmen bantu wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 22 JAN : RM72 juta diperuntukan Kerajaan Selangor bagi membantu meningkatkan martabat wanita dan golongan ibu menerusi pengenalan inisiatif berkebajikan, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor mendahului negeri lain dalam membantu merancakkan agenda pembangunan wanita di negara ini.

Beliau berkata, komitmen itu seiring matlamat yang digariskan dalam Dasar Wanita Selangor, bertujuan meningkatkan status sosio ekonomi dan autonomi wanita terpinggir.

“Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri mengiktiraf setiap ibu yang layak untuk menerima bantuan sebanyak RM2,400 setahun, atau RM200 setiap bulan.

“Peserta KISS mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan dan pakaian sekolah untuk anak-anak di lebih 500 buah pasaraya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart dan Pusat Pakaian Hari-Hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program KISS di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, yang dihadiri lebih 1000 warga DUN Pematang, petang ini.

Hadir sama, pimpinan tertinggi Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Dato’ Nor Azmie Diron dan Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi, Elizabeth Wong, Amirudin Shari dan Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi.

Dalam perkembangan itu Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan skim berkenaan ditawarkan kepada golongan ibu berpendapatan RM2,000 ke bawah.

“Saya bersyukur kerana program KISS telah mendapat sokongan yang luar biasa dari ibu-ibu di Negeri Selangor.

“Ini membuktikan bahawa dasar dan program Kerajaan Negeri menepati aspirasi rakyat dan berjaya mencapai matlamat memberdaya golongan ibu dan wanita,” katanya.

Terdahulu, pengumuman pelaksanaan KISS mula dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada Belanjawan Selangor 2018, Oktober lalu.

Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar di Selangor.

Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara atas talian di laman sesawang www.kiss.com.my; atau mendaftar terus di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :