SELANGOR

KISS: Sinar baru buat ibu Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) diyakini mampu membawa sinar baru kepada golongan ibu, di negeri ini.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif berkenaan dilihat relevan ketika golongan itu terus terbeban dengan pelaksanaan dasar yang menekan rakyat, di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, menerusinya penerima boleh membeli keperluan makanan dan perlatan serta kelengkapan, di pasar raya berdaftar.

“Jadi tidak hairanlah selepas KISS dibentangkan, tular di media sosial dengan jelas ada pihak yang cemburu dengan pelaksanaan berkebajikan, di Selangor.

“Hakikatnya, dasar ini dilihat mampu memberi sinar baru kepada golongan ibu, malahan ia juga sebagai pengiktirafan kepada ibu yang banyak berkorban dalam mengangkat institusi kekeluargaan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PKISS, di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor, petang ini.

Program itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi pengumuman peruntukan RM72 juta bagi memberdaya program berkenaan.

Majlis pelancaran turut menyaksikan selebriti terkenal, Elly Mazlein mempromosikan pelaksanaan dasar berkenaan kepada kaum wanita yang hadir.

Sebelumnya, Mohamed Azmin berkata, bantuan KISS dikhususkan kepada ibu berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah atas penghargaan terhadap pengorbanan serta perit jerih dilakukan.

Katanya, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan yang akan memberi manfaat kepada 30,000 penerima.

“Melalui KISS, ibu di Selangor akan mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di sekitar 500 pasar raya dan kedai runcit yang sudah dikenal pasti.

“Namun, diingatkan barang keperluan ini hanya terhad kepada keperluan asas dan bukan untuk peralatan kosmetik atau rokok,” katanya.


Pengarang :