GLOBAL

Krisis air: Air dihad 50 liter seorang sehari, had pam tandas

GLOBAL 28 JAN: Kemarau teruk memaksa majlis perbandaran Cape Town mengehadkan penggunaan air kepada 50 liter seorang dalam sehari sambil menggesa orang ramai supaya menutup tangki air tandas dan mengehadkan mengepam tandas bagi menyimpan air.

Portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan Ketua pentadbiran wilayah Cape Barat, Helen Zille ber­kata, sekiranya air paip di bandar itu kering, ia bakal menjadi ‘ibu kepada segala bencana’.

Namun, katanya lagi, harapan untuk mengelakkan bencana yang dikenali sebagai ‘Hari Sifar’ itu masih ada.

Beliau berkata, krisis sepenuhnya masih dapat dielakkan sekiranya setiap orang menggunakan hanya 50 liter air atau kurang dalam sehari.

“Tidak sukar berbuat demikian sekiranya kita semua memberi tumpuan untuk me­lakukannya di rumah dan di tempat kerja,” katanya.

Zille turut memberikan beberapa cadangan penjimatan air termasuk mengisi air basuhan ke dalam tangki air tandas dan menggunakannya untuk mengepam tandas.

“Tiada sesiapa boleh mandi­ lebih daripada dua kali seminggu­ pada masa ini. Kamu perlu menjimatkan air kerana hidup kamu bergantung padanya,” kata Zille lagi.

Cape Town yang merupakan destinasi pelancong popular, dilanda kemarau paling buruk dalam tempoh satu abad. Bandar itu menerima taburan hujan yang rendah sejak tiga tahun lalu.

SUMBER: Agensi


Pengarang :