SELANGOR

LZS terus menerus bantu keluarga Nabil

OLEH NAEEM RAFFI

AMPANG, 28 JAN: Ketabahan Raden Nabil Zakiyudin R Zakariya, 11, melaungkan azan setiap hari sebagai salah satu usaha menyembuhkan bapanya, R Zakariya R Abdul Hamid, 51, mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

R Zakariya terlantar sakit ekoran kerosakan saraf selepas dilanggar sebuah kereta dalam satu kemalangan di Petaling Jaya, 20 April 2015.

“LZS bersimpati dengan dugaan yang adik Nabil hadapi. Kita doakan semoga adik Nabil kuat dan bapanya akan diberikan kesembuhan.

“Kami ingin kongsikan juga antara bantuan zakat yang disalurkan kepada keluarga Nabil bagi meringankan dugaan mereka.

“Mereka menerima bantuan daripada perubatan untuk ayahnya bermula 2015 sehingga kini,” katanya dalam satu catatan di laman facebook rasmi LZS.

Untuk rekod, LZS sudah menyalurkan bantuan zakat RM25,120 bagi menjelaskan kos rawatan hospital, bantuan bulanan bagi keperluan seperti susu dan lampin pakai buang, sepanjang tahun lalu.

Manakala, bagi tahun ini bantuan disalurkan berjumlah RM9,720 bermula Januari bagi menampung kos rawatan susu dan lampin pakai buang beliau.

Selain berdoa, rutin harian Nabil melaungkan azan setiap kali pulang dan pergi ke sekolah dengan harapan bapanya mampu bangun untuk menemaninya solat jemaah di masjid yang terletak di depan rumah.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan laungan azan anjuran Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang, sebelum ini kerap diberi tanggungjawab oleh jemaah masjid untuk melaungkan azan.


Pengarang :