SUKANKINI

Mahali dan Rafa Ramazotti mahu pamer kecemerlangan bersama PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

KELANA JAYA, 31 JAN: Penyertaan dua tonggak baru PKNS FC, Mahali Jasuli dan Rafael Ramazotti De Quatros bakal memperkuat lagi pasukan itu menjelang sepak mula Liga Malaysia bermula 3 Februari ini.

Mahali, 29, bakal beraksi bersama PKNS FC secara pinjaman semusim daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui selesa bersama rakan sepasukan selepas menyertai latihan sejak Isnin lalu.

“Alhamdulillah, selepas berlatih selama dua hari semua pemain memberikan kerjasama dan nampak keserasian. Saya akan cuba untuk menerima corak pasukan secepat mungkin dan akan memberikan persembahan terbaik bersama mereka,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan peluang terbaik buat dirinya untuk merebut tempat kembali bermain bersama skuad Harimau Malaya dengan mempamerkan prestasi baik

Bagi Rafa, 29, yang mengikat kontrak selama setahun, ini musim kelima di Asia selepas beraksi di Jepun dan Singapura selain berharap akan meneruskan kecemerlangan sebagai seorang penyerang.

Tiba di PKNS FC dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak selama dua musim di Liga Singapura, beliau akan berusaha menjaringkan gol dan meletakkan sasaran tinggi musim ini.

“Saya gembira dan berbesar hati untuk bersama pasukan ini. Ini cabaran baru untuk saya dalam karier bola sepak.

“Saya tidak suka meletakkan angka jaringan musim ini dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjaringkan gol. Sasaran saya adalah menjaringkan lebih banyak gol pada setiap perlawanan,” katanya.


Pengarang :