SENI

Malam Nostalgia Lagenda siri 2 kembali

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Persatuan Karyawan Malaysia dan RR Charity Lane akan mengadakan Malam Nostalgia Lagenda siri kedua, di WOWKL!, pada 27 Januari ini.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez berkata, acara itu bertujuan membuka peluang kepada nama besar terdahulu meneruskan perjalanan kerjaya seni dan mengutip dana bagi tabung kebajikan persatuan.

“Antara artis yang akan tampil membuat persembahan adalah Rahimah Rahim, Mimiloma, Norlia Ghani, A.Rozaini dan S Rohani.

“Ternyata mereka ini masih mantap dan sangat menghiburkan di pentas, namun kini amat jarang mendapat tawaran untuk mengadakan persembahan kerana terlalu banyak persaingan dengan artis baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media “Malam Nostalgia Lagenda” siri dua, di WOWKL!, baru-baru ini.

Freddie berkata, usaha itu sedikit sebanyak membantu artis veteran terbabit mencorakkan perjalanan seni tanah air sehingga kini, sekali gus menunjukkan penghargaan kepada mereka.

Acara itu adalah siri kedua hiburan santai bersama hidangan makan malam disajikan WOWKL! dengan jualan tiket berpatutan bagi sepuluh orang untuk setiap meja, iaitu RM1,000, RM2,000, RM3,000 dan RM5,000.

Sebelum ini, siri pertama pernah diadakan di lokasi sama, pada 10 Disember tahun lalu yang menampilkan artis lagenda seperti Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Zaiton Sameon dan Herman Tino.

Ia dijangka akan diadakan setiap bulan jika mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan acara dan tiket, boleh melalui e-mel [email protected] atau hubungi Dato’ Freddie Fernandez 0122071400 atau Amad 0147176276.


Pengarang :