SELANGOR

Masih belum terlambat penghuni pangsapuri ubah sikap

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Penghuni pangsapuri masih boleh mengubah sikap menjaga kebersihan dan mewujudkan keharmonian sekali gus mengelakkan kejadian tidak dingini berulang.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Sosial Sains Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Mohd Zaidi Mohd Hajazi berkata, satu kumpulan penggerak yang baik diperlukan bagi menubuhkan sebuah Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya kesedaran di peringkat awal dapat diwujudkan.

“Kesedaran dalam kalangan penduduk pangsapuri penting khususnya untuk mendapatkan maklumat mengenai kebersihan dan menggalakkan cara hidup sihat bahkan ia perlu diberikan peringkat awal.

“Kemudahan terbaik juga perlu diberikan supaya mereka lebih menghargai. Apabila kemudahan dinaiktaraf, mereka akan lebih berasa tanggungjawab untuk menjaganya kerana ia memberikan faedah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas mengenai langkah supaya kebersihan di peringkat pangsapuri dapat diwujudkan beliau berkata, sikap berterusan dalam memberikan kesedaran kepada semua penduduk perlu terus dilakukan.

Ini kerana tindakan mengubah sikap dan mentaliti penduduk pangsapuri supaya berubah serta menjaga kebersihan pastinya melibatkan satu tempoh masa yang panjang sebelum ia dapat dilakukan sepenuhnya.

“Perubahan sikap mungkin mengambil masa dua atau tiga bulan bahkan mungkin dua atau tiga tahun.

“Keutamaan sekarang adalah penduduk kena berkongsi maklumat secara berterusan supaya kesedaran dapat terus diwujudkan,” katanya.

Sebelum ini beberapa kemalangan berlaku di kawasan pangsapuri akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk yang suka membuang sampah dari tingkat kediaman hingga mengakibatkan kecederaan.

Terbaru kisah menyayat hati seorang remaja, Satiswaran, 15, yang meninggal dunia apabila ditimpa kerusi yang dipercayai dibaling dari tingkat 21, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.


Pengarang :