SELANGOR

Masyarakat disaran bantu, pesakit kanser perlu positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JAN: Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berharap pesakit kanser di negeri ini sentiasa berfikiran positif untuk melawan penyakit itu.

Biarpun mengakui penderitaan ditanggung golongan itu, beliau menyarankan supaya pesakit kanser terus cekal meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

Berkongsi pengalaman peribadi melalui detik-detik akhir bersama ibunya yang juga pesakit kanser, Shamshida berkata, beliau kini lebih redha dengan pengalaman itu, sebelum ini.

“Saya kini lebih faham selepas pemergian ibu setelah berjuang menentang kanser, saya sebenarnya lebih mendapat ketenangan.

“Pemergian Ibu itu cukup tenang, rupanya pejuang kanser ini diangkat martabatnya dan diraikan di kedudukan yang baik.

“Di saat akhir itu juga, ibu ada katakan beliau sudah bersedia dan saya sememangnya faham tentang erti ketabahan seorang pesakit kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Dr Yasmeen Fule For Fighters Awakening kali keenam yang turut dihadiri lebih 150, pesakit kanser wanita di negeri ini.

Turut hadir Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Terdahulu, program berkenaan diadakan bagi membincangkan isu dan tips kesihatan yang perlu diamalkan pesakit kanser.

Seminar disampaikan pakar perubatan Dr Yasmeen Farouk Mohamed di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di Seksyen 7, petang ini.

Sementara itu, Shamshida menyambut baik inisiaitif dijalankan Dr Yasmeen dalam membantu memberi khidmat perubatan dan kaunseling kepada pesakit kanser.

Beliau berkata, langkah positif itu perlu diteruskan pelbagai pihak sebagai sumbang saran positif terhadap pesakit kanser.

“Semua orang mampu untuk membantu pesakit kanser menerusi landasan masing-masing, tidak semestinya anda perlu menjadi ahli politik atau pengarah syarikat untuk membantu.

“Suri rumah boleh memberi sokongan positif kepada ahli keluarga yang didapati menghidap penyakit itu,” katanya.


Pengarang :