SELANGOR

MB: Bangunkan Selangor sebagai negeri penyayang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Seluruh rakyat sentiasa diberikan pembelaan dan perhatian dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan dan kebajikan supaya tiada mana-mana kaum atau golongan merasa tersisih.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usaha ini selaras dengan hasrat beliau mahu membangunkan Selangor sebagai negeri penyayang.

“Selangor ini maju tetapi sebagai Menteri Besar saya mahu tegaskan saya bukan sahaja mahu Selangor maju dalam bidang industri sahaja, saya bukan mahu Selangor maju dalam bidang kewangan sahaja tetapi saya mahu bangunkan Negeri Selangor sebagai negeri penyayang.

“Kita sayang orang India, Melayu, Cina dan kita sayang rakyat Selangor dan rakyat Malaysia, boleh?,” katanya di hadapan lebih seribu penganut Hindu yang hadir ke Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar di sini, malam tadi.

Jelasnya, sebagai negeri penyayang Kerajaan Negeri bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat termasuk masyarakat India di negeri itu.

Katanya, beliau juga mahu supaya masyarakat India mendapat tempat dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan dan sosial supaya golongan itu dapat hidup sebagai rakyat Selangor yang merdeka dan bermaruah.

“Saya mewakili Kerajaan Negeri Selangor dan saya sebagai seorang Melayu – Islam tetapi saya beri jaminan orang India beragama Hindu akan tetap kami jaga hak mereka untuk mengamalkan agama masing-masing dan budaya orang India dengan aman dan sejahtera di dalam Negeri Selangor ini.

“Selangor adalah negeri kita. Negeri Selangor adalah untuk rakyat Selangor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :