SELANGOR

MB serah sumbangan RM465,000 untuk 34 kuil Hindu

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 31 JAN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan sebanyak RM465,000 kepada 34 kuil seluruh Selangor.

Sumbangan itu diserahkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus membiayai program sambutan perayaan Thaipusam setiap tahun.

“Program Thaipusam ini tetap dibiayai dan disokong oleh Kerajaan Selangor yang mahu melihat perpaduan kaum dikekalkan.

“Inilah uniknya Selangor, kita adalah masyarakat pelbagai agama, kaum dan budaya tetapi kita boleh hidup aman damai dan sejahtera,” katanya pada program terbabit.

Jelasnya, perasaan muhibbah antara kaum itu turut dapat dilihat pada perayaan Thaipusam apabila terdapat pengunjung berbangsa Melayu, Cina dan tidak ketinggalan ingin menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam.

Program itu turut dihadiri Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V. Ganabatirau; Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari; ADN Sri Andalas, Xavier Jeyakumar dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan.

Sementara itu, walaupun sambutan Thaipusam berlangsung esok, namun ribuan penganut agama Hindu mula mengunjungi Kuil Sri Subramaniyar sejak petang semalam lagi.

Bilangan itu bertambah menjelang malam tadi sebelum tiba acara kemuncaknya pada keesokan harinya.

=EZY=


Pengarang :