NASIONAL

MB: Tun M calon PM, tak jejas agenda reformasi

OLEH HAFIZAN TAIB

GOMBAK, 12 JAN: Pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak meminggirkan agenda reformasi diperjuangkan KEADILAN sejak sekian lama.

Malah, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan dibuat itu adalah bagi merealisasikannya apabila PAKATAN berjaya mengambilalih tampok pentadbiran negara selepas pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Saya antara mereka yang pertama bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai perkara ini kira-kira tiga tahun lalu.

“Kita gembira dengan persetujuan beliau dan meneruskan agenda reformasi diperjuangkan selama ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan Masjid Zakaria dan solat Jumaat di sini, hari ini.

Konvensyen PAKATAN, baru-baru ini, memutuskan Dr Mahathir dan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya mengambilalih kerajaan daripada Umno-Barisan Nasional (BN) selepas PRU14 nanti.

Beliau berkata, persetujuan Dr Mahathir itu selari dengan kehendak semua pihak dalam PAKATAN berbanding cadangan asal mantan Perdana Menteri itu yang hanya mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ia adalah keputusan dan cadangan dikemukakan PAKATAN kepada rakyat maka sekiranya rakyat menerima dengan baik seorang pemimpin 93 tahun untuk mengetuai kerajaan sekiranya kita mengambilalih, mengapa tidak?,” soalnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau akan memberi tumpuan bagi pembangunan Selangor selaku Dato’ Menteri Besar.

“Kita adalah penyumbang besar kepada Keluaran Negara Kasar Negara (KDNK) maka saya bersama pimpinan negeri akan mmeberi tumpuna khususnya untuk pembangunan Selangor.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menitahkan amat berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri maka saya akan fokus terhadap pentadbiran negeri,” katanya menambah sebahagian pimpinan PAKATAN akan memberi tumpuan terhadap perkembangan di peringkat pusat.


Pengarang :