PBTSELANGOR

MBSA gempur penjaja warga asing

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JAN: Sebanyak enam premis digempur Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekitar Dataran Otomobil, Seksyen 15, dalam operasi membanteras peniaga dan pekerja warga asing serta perlanggaran syarat lesen.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat mengenai kewujudan peniaga dan pembantu kedai warga asing serta pusat snuker tanpa lesen di lokasi berkenaan.

“Operasi melibatkan pemeriksaan di dua premis restoran, dua premis kedai runcit dan dua premis pusat snooker.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan sebanyak 398 sitaan antaranya meja, kerusi, dapur gas, tong gas, komputer riba, kayu snooker, bola snooker dan monitor telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, sebanyak sembilan ayam hidup yang dipercayai akan dijual kepada warga asing turut disita.

Seramai 43 kakitangan daripada Unit Task Force dan Unit Operasi 3, Jabatan Pelesenan, Bahagian Integriti, Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam serta tiga orang pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut terlibat.

Shahrin berkata penyitaan membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Perindustrian (PTPP) MBSA 2007.

“Ia juga merangkumi Kompaun Tanpa Lesen 3(1), Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan Kompaun – Lesen Tamat Tempoh 2007, Undang-Undang Kecil Pusat Siber & Kafe Siber (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pusat Sukan Persendirian (MBSA) 2013,” katanya.

=EZY=


Pengarang :