GLOBAL 21 JAN: China membangunkan menara pembersih udara terbesar dunia hampir 100 meter dalam usaha untuk menangani pencemaran udara di negara itu.
Menurut Mail Online memetik South China Morning Post, menara itu dikatakan mampu meningkatkan kualiti udara dalam kawasan seluas 10 kilometer persegi.
Laporan daripada Institut Alam Sekitar Bumi di Akademi Sains China mendakwa sistem pembersih udara itu boleh mengurangkan 15 peratus partikel halus dalam asap yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Satu lagi laporan daripada Xi’an Evening Post menyebut menara itu telah siap sepenuhnya pada Mei 2016 dan kini menjalani ujian untuk melihat sama ada ia betul-betul meningkatkan kualiti udara di kawasan sekitarnya.
Menara tersebut dan bahagian mesinnya memenuhi kawasan seluas 2,580 meter persegi di Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut negara itu.
Selain itu, menara berkenaan juga merupakan sistem pembersihan udara berskala besar yang dibantu dengan tenaga solar.

Di tapak menara terbabit, terdapat beberapa rumah hijau yang berfungsi untuk menarik udara tercemar ke dalam menara itu dan membersihkannya sebelum melepaskannya kembali ke alam sekitar.
Menara tersebut mampu mengasingkan partikel halus termasuk nitrogen oksida, nitrogen dioksida serta sulfur dioksida.
Menurut ketua penyelidik program tersebut, Cao Junji, menara berkenaan mampu membersihkan lebih 10 juta meter padu udara setiap hari.
SUMBER: MAIL ONLINE/ South China Morning Post