EKONOMINASIONAL

Merchantrade lancar kad visa prabayar pelbagai mata wang pertama di Malaysia

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Merchantrade Asia Sdn Bhd melancarkan kad visa prabayar pertama di Malaysia yang boleh menukar ringgit secara digital kepada pelbagai mata wang, hari ini.

Pengarah Urusannya, K V Ramasamy berkata, kad yang dikenali sebagai ‘merchantrade money’ itu menawarkan urusniaga dalam lima mata wang iaitu dolar Australia, pound, rupiah Indonesia, dolar Singapura dan Amerika Syarikat.

“Keupayaan kad ini bagi menukar ringgit kepada mata wang asing memberi fleksibiliti dan keselesaan kepada pelanggan melakukan urus niaga.

“Ia juga memberi kelebihan faedah dan kelebihan kepada pelanggan yang ingin memaksimumkan nilai wang selain memastikan mereka tidak terjejas dengan naik turun kadar pertukaran mata wang asing,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kad Visa Pra bayar pelbagai mata wang ‘merchantrade money’ di Hotel Intercontinental, di sini.

Ramasamy berkata, pihaknya menawarkan kemudahan pertukaran wang 24 jam kepada pelanggan di serata dunia termasuk yang berada di luar negara.

“Selain itu, perkhidmatan ini memperkenalkan gaya hidup baharu kepada pelanggan dan bakal mengubah kelaziman apabila bertukar konsep daripada membawa wang tunai kepada kaedah digital sepenuhnya.

“Kami juga merancang untuk menawarkan sehingga 20 mata wang asing dalam merchantrade money, menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Kad itu turut disokong aplikasi mudah alih yang memudahkan pelanggan memeriksa baki wang, mengurus bajet, mengirim wang, menukar ringgit ke pelbagai mata wang dan melakukan urusu niaga e-dagang.

Ia dibangunkan dengan kerjasama penyedia teknologi pembayaran global, visa dan boleh digunakan di lebih 44 juta rangkaian perniagaan seluruh dunia.


Pengarang :