SELANGOR

MPAJ gesa SUKE perkukuh tebing tanah, elak banjir lumpur berulang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa Syarikat Pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) emperkukuhkan tebing tanah bagi mengelak banjir lumpur berulang.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, tebing tanah dibina di tepi jajaran laluan tanah oleh kontraktor terhakis oleh aliran air dibahagian paling atas cerun dan menyebabkan tebing pecah.

“Aliran air menyebabkan dua berm drain tersumbat dan dipenuhi air dengan tanah lumpur.

“SUKE diarah mengalihkan aliran air dari laluan pembinaan bertanah bagi mengelak hakisan lanjut dan tebing tanah perlu diperkukuh,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MPAJ, di sini pagi tadi.

Selain itu, Hamid berkata, kerja pembersihan longkang tepi cerun ‘berm drain’ perlu dilaksanakan bagi mengawal aliran air pada cerun.

Tambahnya lagi, kontraktor SUKE juga diarahkan berhenti melakukan kerja serta merta dan memberikan laporan kejadian dan tindakan pencegahan dan pembaikan perlu dilaksanakan.

Terdahulu, kejadian banjir lebat pada 23 Januari lalu menyebabkan banjir lumpur berlaku di kawasan tempat letak kereta Pangsapuri Saga Suria, Ampang.

Hasil pemeriksaan MPAJ, mendapati terdapat limpahan air larian menuruni cerun yang telah mengakibatkan kerosakan pada cerun dengan kelebaran tiga meter.


Pengarang :