SELANGOR

MPAJ: Pembinaan SJKC Choon Hwa tidak penuhi piawaian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 31 JAN: Tidak mematuhi piawaian dan dokumen tidak lengkap antara punca permohonan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Hwa di Batu 18, Hulu Langat masih tidak diluluskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, tidak ada unsur menafikan pembinaan sekolah tersebut dan kelulusan segera akan diberikan selepas semua garis panduan dipatuhi.

“Terdapat 17 perkara yang gagal dipatuhi perunding dilantik antaranya permohonan tidak menyatakan cadangan pembangunan akan datang bagi baki blot bersebelahan iaitu enam ekar selebihnya.

“Ini kerana tanah tersebut ada sembilan ekar, namun hanya tiga ekar sahaja yang dinyatakan untuk membina sekolah maka selebihnya tidak dimaklumkan,” katanya dalam sidang media selepas mesyurat penuh MPAJ, baru-baru ini.

Selain itu, Hamid berkata, konsultant juga tidak mengikut garis panduan Kerajaan Negeri dimana untuk membina sebuah sekolah harus seluas lima ekar, namun tiga ekar yang dimohon untuk membina sekolah.

“Kita tidak mahu perkara ini dibangkitkan orang ramai kemudian hari kononnya MPAJ meluluskan pembinaan sekolah yang tidak memenuhi piawaian.

“Jika segala syarat lengkap, kita akan luluskan dengan segera,”katanya.


Pengarang :