SELANGOR

MPKj: 224 kes denggi setakat 20 Januari

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mencatatkan sebanyak 224 kes denggi dengan tiada kes kematian, sehingga 20 Januari lalu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia adalah permulaan yang agak baik bagi tahun ini kerana tiada kematian dilaporkan di kawasan itu.

“Bagaimanapun, daerah Hulu Langat kekal berada di kedudukan ketiga tertinggi dengan jumlah 292 kes terkumpul.

“Sementara itu, 36 lokaliti wabak direkodkan secara keseluruhan dengan tiga lokaliti hotspot merankgkumi dua di DUN Balakong dan satu di Dusun Tua.

“Selain itu, jumlah keseluruhan lokaliti wabak di bawah seliaan MPKj bagi ekosistem dalam DUN Kajang di Zon MPP 7,8,9 dan 20 adalah empat dan dalam keadaan terkawal,” katanya dalam mesyuarat penuh MPKj bil 1/2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes daftar mingguan demam denggi di bawah MPKj, sebanyak 84 kes daftar mingguan dicatatkan sehingga 20 Januari.

“Kami juga akan mengadakan bengkel khas untuk menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani kes denggi.

“Diharapkan bilangan kes denggi ini tidak akan meningkat dengan lebih drastik,” katanya.


Pengarang :