PBTSELANGOR

MPSepang lafaz Ikrar Bebas Rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 23 JAN: Warga Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha memerangi gejala rasuah supaya tidak menular dalam kalangan penjawat awam.

Lafaz ikrar diketuai Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib bersama penjawat awam itu disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Dato’ Alias Salim, pada perhimpunan pagi disusuli majlis menandatangani IBR.

Puasa dalam ucapannya berkata, pendekatan IBR adalah inisiatif membendung isu rasuah melalui perkongsian penerangan, di samping menyokong usaha memerangi gejalan negatif itu.

“Usaha memerangi rasuah adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi seluruh ahli masyarakat, khususnya dalam kalangan warga yang bekerja di agensi kerajaan bagi memastikan negara ini bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis IBR, di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini.

Pada masa sama, Puasa berkata, MPSepang turut menganjurkan beberapa program sebagai usaha memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam.

Katanya, antara program dilaksanakan adalah ‘Breakfast Talk’ bertajuk Tugasan Penguatkuasaan: Antara Integriti dan Budi Bicara, ‘No Gift Policy’, ‘Whistle Blower’ dan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) serta menjadikan November sebagai Bulan Integriti setiap tahun.

“Rakyat bakal menikmati hasil sebenar perkhidmatan berkualiti yang disampaikan selagi penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh integriti,” katanya.


Pengarang :