SELANGOR

MPSJ jalankan Ujian Psikometrik, pastikan kakitangan berkualiti

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama mengadakan Ujian Psikometrik bagi memastikan kakitangan MPSJ berkualiti dalam aspek fizikal dan spiritual.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata seramai 118 pegawai dan kakitangan menyertai ujian terbabit secara elektronik.

Katanya, hasil ujian itu mendapati 64 kakitangan atau 54 peratus mendapat penilaian integriti yang tinggi.

“Ujian Psikometrik Malaysian Integrity Profile (MIP) merupakan satu ujian yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu melalui tiga aspek utama iaitu Kualiti Peribadi, Pendirian serta Konsistensi.

“Kualiti peribadi dinilai melalui kesedaran etika, disiplin, efisyen, perpaduan dan kepercayaan yang menjadi asas kepada integriti manakala pendirian pula diukur melalui persepsi dan nilai kerja yang positif.

“Ia baik dari aspek fizikal mahupun aspek spiritual yang sihat dan positif melalui penekanan pengamalan prinsip integriti dalam kalangan kakitangan,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata ujian MIP itu sememangnya memberi kelebihan kepada MPSJ kerana ia selaras dengan Pelan Integriti MPSJ yang menitik beratkan integriti di dalam pengurusan kerja kakitangan Majlis.

Katanya, melalui ujian itu juga, MPSJ dapat mengenalpasti personaliti pekerja serta meningkatkan prestasi kerja kakitangan dengan merangka pelan pembangunan kerja dan integriti yang lebih khusus kepada kakitangan terlibat.

“Diharapkan ujian MIP ini dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang diberikan kepada orang awam seterusnya melahirkan kakitangan yang bukan sahaja efisyen menjalankan tugasan bahkan menerapkan pengamalan integriti semasa menjalankan tugasan,” katanya.


Pengarang :