NASIONAL

Netizen sayu saksikan Istiadat Paluan Berundur Kem Sungai Besi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JAN: Lambakan perkongsian video memaparkan Istiadat Paluan Berundur atau penutupan Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di laman sosial facebook yang dikesan sejak semalam menarik perhatian nitizen.

Rata-rata netizen melahirkan perasaan sayu menyaksikan rakaman saat akhir perkhidmatan pengkalan udara yang banyak memainkan peranan penting mempertahankan kedaulatan negara sejak 53 tahun lalu selepas mengambil alih Lapangan Terbang Antarabangsa Sungai Besi itu ditamatkan operasinya.

Dua video yang turut dikongsikan laman Siakap Keli itu ditonton sebanyak 64,000, dikongsi oleh 253 orang dan mengundang pelbagai komen oleh netizen.

Walaupun rata-rata netizen tidak menolak langkah Kerajaan Persekutuan memindahkan pengkalan itu ke Sendayan, Negeri Sembilan, namun keputusan menjual tapak pengkalan itu kepada negara China amat dikesali.

“Kesian, dulu mati-mati lawan komunis di sempadan. Sekarang kem askar pun kita bagi pada negara komunis. Ironiknya?,” tulis pemilik akaun facebook yang menggunakan nama Justin Modzi.

“Orang dulu berperang sampai titisan darah terakhir tawan negara. Zaman sekarang tak keluar darah pun dah jual negara,” tulis Are’a.

“Walaupun aku bukan ada darah daging dengan tentera, tapi serius aku turut sebak dan sedih,” kata Darnis Syah dan Rabuyah Sakarawi pula menulis “Paluan Berundur. Sayu sahaja dengar. Selamat bertugas di kem baru.”

Dua video itu memaparkan upacara menurunkan bendera dengan diiringi alunan lagu Bertemu Dan Berpisah yang dimainkan kumpulan pancaragam dan diikuti perarakan keluar kenderaan tentera membawa anggota berseragam isitiadat putih meninggalkan pengkalan bersejarah itu.


Pengarang :