NASIONAL

Nik Nazmi boleh bertanding PRU-14

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 JAN: Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang susulan keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini memihak kepadanya.

Keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam hujahan dikemukakan kerajaan untuk meningkatkan hukuman denda ke atas beliau dari RM1,500 kepada RM5,000.

Pengerusi panel Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mokhtaruddin Baki keputusan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah Nik Nazmi membayar denda RM1,500 selepas mengaku bersalah gagal menghantar notis dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran perhimpunan Black 505, lima tahun lalu.

Katanya, mahkamah mendapati permohonan pendakwaan tiada merit.

“Mahkamah memutuskan hukuman mahkamah tinggi adalah mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN menyifatkan keputusan itu baik demi kebebasan berhimpun di negara.

“Saya menerima baik keputusan Mahkamah Rayuan ini.

“Ini adalah keputusan baik dalam perjuangan menegakkan kebebasan berhimpun dan bersuara di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi menegaskan pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu berhenti membebankan mahkamah dengan kes remeh dan bermotifkan politik serta memberi tumpuan menambah baik tadbir urus negara.

“Saya bertekad akan terus berkhidmat demi rakyat di Selangor dan seluruh Malaysia, terutama menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada 8 Disember 2016, Nik Nazmi diperintah membayar denda itu selepas mengaku bersalah gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program Black 505, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kesalahan itu dilakukan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada jam 8.30 malam, pada 8 Mei 2013.

Beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya jika dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari RM2,000.


Pengarang :