Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

Noraini fokus tingkat kualiti komuniti bandar

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 24 JAN: Pembaharuan pengurusan bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti bandar menjadi fokus utama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru, Noraini Roslan.

Katanya, beliau masih dalam proses melihat sistem sedia ada untuk ditambah baik.

“Saya merangka untuk melakukan pengurangan pembaziran dari segenap aspek sama ada dalam bentuk masa, kakitangan dan kewangan supaya kita dapat lakukan penjimatan ke atas pembangunan, namun dapat meningkatkan kebajikan masyarakat.

“Selain itu, juga saya sedang melihat pengurusan sisa pepejal membabitkan pembuangan secara pukal yang masih lagi berlaku walaupun Subang Jaya adalah kawasan perbandaran,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat penuh MPSJ, pagi tadi.

Beliau berkata, MPSJ antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang cemerlang dalam Malaysia dan mendapat pengiktirafan lima bintang, justeru tidak banyak perubahan ketara perlu dilakukan.

“Selama tiga minggu saya berkhidmat di MPSJ, tidak banyak perubahan diperlukan dari segi sistem, cuma terdapat beberapa perkara perlu penambahbaikan yang membawa kepada kecekapan,” katanya.

Noraini merupakan wanita kedua menerajui PBT di bandar, pada 3 Januari lalu selepas Datin Paduka Alinah Ahmad ketika bergelar Datuk Bandar Petaling Jaya, pada 2013.

Noraini pernah menjawat jawatan sama ketika menerajui Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hampir 11 tahun sebelum beliau menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) .

Kini, beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada penyandang, Dato’ Norhisham Ahmad Dahlan yang bersara, pada Mei tahun lalu.


Pengarang :