SELANGOR

Padah parkir dibahu jalan, dua bas disita

 

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 JAN: Tindakan memarkir kenderaan berat dibahu jalan akhirnya mengundang padah apabila dua bas disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat sekitar Seksyen 25 dan 26, pada 25 Januari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, operasi digerakkan bagi mengesan dan membanteras masalah kenderaan berat yang diletakkan di kawasan awam seperti bahu jalan, kawasan kediaman dan rizab jalan.

“Penundaan kenderaan berat ini dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagi kenderaan berat yang tidak dialihkan, kenderaan tersebut akan ditunda dan akan dikompaun sebanyak RM2420.00. Caj bagi simpanan di depoh adalah sebanyak RM50.00 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata, MBSA akan terus menerus menjalankan operasi itu bagi memantau masalah ini yang semakin berleluasa sehingga mengganggu lalu lintas.

“Kenderaan berat ini turut mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kediaman khususnya kediaman bertingkat.

“Ia juga menyebabkan kerosakan kawasan hijau atau rizab, menghalang lalu lintas serta mengehadkan pemandangan akibat saiz kenderaan yang besar,” katanya.


Pengarang :