SUKANKINI

Pasukan Liga M diminta patuh peraturan, elak dikena tindakan

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JAN: Semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) diminta mematuhi peraturan ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) demi kebaikan bersama dan masa depan bola sepak Malaysia.

Dalam kenyataannya, FMLLP berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pasukan tidak mematuhinya seperti mana berlaku kepada sebahagian pasukan berkaitan.

Katanya, FMLLP sentiasa berhubung dengan setiap pasukan dan berusaha membantu sebaik mungkin termasuk pendaftaran tahunan pada awal musim termasuk deklarasi gaji telah dibayar termasuk KWSP, PERKESO dan cukai.

“Kita faham setiap pasukan memandang serius di atas perkara ini kerana telah melihat tindakan diambil sebelumnya.

“Demi kemajuan, kita tidak boleh memasuki musim baharu tanpa dokumen diperlukan,” katanya.

Untuk musim 2018, sekretariat FMLLP mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah bahawa pasukan tidak melengkapkan dokumen diperlukan, hanya menerima separuh pengagihan dana hak penyiaran dan tajaan tahunan.

Cadangan lain ialah pasukan tidak mengemukakan dokumen pendaftaran pada 31 Mac ini, akan dihukum dengan pemotongan mata dan sekatan perpindahan serta pasukan gagal mendapatkan lesen kelab untuk musim 2019 (tarikh tutup Jun ini) maka akan dihukum berdasarkan pasukan tanpa lesen.

“Bagi pasukan telah dikenakan hukuman sebelum ini pula, tiada pengagihan dana tahunan akan diberikan jika memulakan musim dengan dokumen tidak lengkap dan sekiranya berulang pada pada 31 Mac ini maka sekatan perpindahan akan dikenakan serta pemotongan mata.

“Sekiranya pasukan gagal mendapatkan lesen kelab disebabkan hutang tertunggak maka penamatan perjanjian perkongsian akan berkuatkuasa pada November ini.

“Oleh itu, ianya akan menjadi musim terakhir bagi pasukan terbabit menyertai dua peringkat tertinggi liga bola sepak di Malaysia,” katanya.

FMLLP menambah, bola sepak negara sekarang sedang menuju era lebih mantap dengan pengagihan hak siaran dan tajaan amat besar di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


Pengarang :