OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Putra Canselor Carnival (PCC) buat kali ketujuh pada 16 hingga 18 Mac ini bertempat di Kolej Canselor, dari jam 8 pagi hingga 11 malam.
Ketua Unit Media PCC, Athira Izyanie Abdul Rasid berkata, program bertaraf antarabangsa itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada tingkat sosial ekonomi A hingga E.
“Pada tahun ini, PCC bertemakan ‘Faith In Humanity’ membawakan konsep ihsan selaras dengan visi Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dalam Perutusan 100 Hari Naib Canselor.
“Visi itu menyatakan konsep ihsan yang merangkumi setiap amal perbuatan atau pekerjaan yang baik, dilaksanakan dengan betul, mahir, efisien dan cekap.
“Konsep ihsan ini juga dapat diterapkan secara perkongsian pelbagai aspek seperti kepemimpinan, kesukarelawanan, cabaran pendanaan dan kewangan universiti juga kesejahteraan warga kampus,” katanya dalam kenyataan.
‘Well Known Preacher’ iaitu aktiviti kerohanian pada waktu malam yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berjiwa ihsan adalah acara utama karnival berkenaan.
Selain itu, antara program menarik lain menanti pengunjung adalah ‘Program Blood Donation: We Share, We Care’, ‘Program Charity Mission: Share with Love’, ceramah agama ‘Benarkah Hidup Kita Sudah Ditetapkan?’, ‘Battle Of The Band: Grooving Back In Time’ dan ‘Ultimate Futsal Challenge’.
Katanya, penganjur mensasarkan kehadiran 5,000 pengunjung selain pembabitan 760 peserta daripada pelbagai universiti berdaftar di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, 50 alumni Kolej Canselor dan 280 pelajar sekolah, di kawasan Serdang.