GLOBAL

Pegawai silap beri amaran serangan ICBM dipecat

GLOBAL 31 JAN: Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii (HEMA) meletak jawatan dan seorang pegawai yang mempunyai rekod ‘prestasi buruk’ dipecat selepas mencetuskan panik dengan memberi amaran palsu peluru berpandu menuju ke kepulauan Pasifik itu.

Hawaii, yang berwaspada berhubung ancaman Korea Utara, dikejutkan dengan amaran itu, yang dihantar menerusi telefon bimbit kepada penduduk dan pelancong dan tidak dibetulkan sehingga hampir 40 minit, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Seorang lagi kakitangan agensi negeri, yang bertanggungjawab memaklumkan kepada umum mengenai ancaman kepada keselamatan mereka, digantung, Ketua Adjutan negeri itu, Mejar Jeneral Joe Logan.

Pentadbir HEMA, Vern Miyagi, meletak jawatan semalam sebagai mengambil tanggungjawab di atas kejadian pada 13 Januari lalu, kata Logan, dan pegawai amaran kecemasan yang tersilap memberikan amaran serangan peluru berpandu balistik dipecat Jumaat lalu.

Laporan siasatan yang disiarkan semalam menyatakan, pekerja yang dipecat itu menjadi ‘sumber kebimbangan’ selama 10 tahun kerana pencapaian buruknya.

“Beliau tidak memahami keadaan dan keliru antara kejadian sebenar dan latihan sekurang-kurangnya dua kali,” menurut laporan.

Dalam laporan berasingan, Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) menyatakan, pegawai berkenaan mendakwa beliau percaya ancaman itu benar dan tidak mendengar ayat menyatakan ia cuma latihan.

SUMBER: AFP


Pengarang :