SELANGOR

PEKAWANIS santuni waris mangsa kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menghulurkan sumbangan kepada waris 22 pelajar dan dua warden asrama yang meninggal dunia akibat kebakaran Sekolah Maahad Tahfiz Ittifaqiyah, Hulu Klang, pada September lalu.

Pengerusi PEKAWANIS, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, beliau berharap sumbangan dihulurkan itu mampu meringankan sedikit bebanan ditanggung keluarga terbabit.

“Di dorong rasa sedih yang tak terungkap, saya turut bersama di wad forensik pengecaman dan berkesempatan turut berbual dengan beberapa ibu, bapa serta keluarga.

“Melihat reaksi para ibu membuat saya amat terharu kerana berbagai cerita menyayat hati dan pada ketika itu saya datang sebagai seorang ibu,” katanya dengan nada sebak.

Beliau yang juga isteri Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, semalam.

Beliau turut menasihati keluarga mangsa supaya tabah mengharungi dugaan yang amat berat itu.

“Insha Allah mereka berada dalam taman-taman syurga,” katanya lagi.

Ketika menyentuh kejadian awal pagi 14 September itu, Shamsidar berkata, lebih menyedihkan lagi apabila polis mengumumkan bahawa kejadian itu berlaku berpunca daripada perbuatan khianat sekumpulan remaja berusia serendah 11 tahun.

Jelasnya, selepas kejadian menyedihkan itu, beliau mengadakan perbincangan bagi membendung masalah sosial di negara ini.

“Untuk mencapai kemakmuran, bukan sahaja pembangunan fizikal diutamakan tetapi pembangunan mental kerohanian.

“Pembangunan mental dan kerohanian insan perlu sejajar dengan kemajuan infrastruktur kerana mental kerohanian sangat menentukan keberhasilan pembangunan secara menyeluruh di mana kedua-dua aspek ini perlu seiring dan seimbang, ” katanya.


Pengarang :