BERITA UTAMASELANGOR

Pelabuhan Barat dan Utara Klang pemangkin kepesatan ekonomi Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri yakin melalui pembangunan yang terancang dan berkualiti, Selangor dapat merancakkan aktiviti ekonomi yang ‘sustainable’ dan menyediakan kemudahan prasarana unggul bagi menarik perhatian pelabur asing juga tempatan berlabuh, di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangunan yang pesat di daerah Klang khususnya pembangunan kemudahan baru di Pelabuhan Barat (Westport) dan Pelabuhan Utara (Northport) menjadi pemangkin kepada kepesatan ekonomi Selangor dan negara.

Katanya, pembangunan pesat itu turut menyumbang kepada kesesakan trafik khususnya, di Bandar Klang.

Justeru, pelaksanaan projek Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer dengan kos projek bernilai RM250 juta mencerminkan kepedulian Kerajaan Negeri untuk berbelanja bagi pembangunan berkualiti demi menyuraikan kesesakan trafik dan mewujudkan jaringan jalan raya yang cepat, selamat dan mesra pengguna.

Malah, Kerajaan Negeri merancang melebarkan lagi projek terbabit bagi meneruskan usaha untuk memberi manfaat kepada rakyatnya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri sedang membuat perancangan sambungan projek itu yang akan menghubungkan beberapa jalan lain dan antara dalam kajian adalah Jalan Shahpadu, Jalan Kapar serta Persiaran Raja Muda Musa.

“Ia termasuk membabitkan pembesaran Jalan Sungai Bertek yang terlalu sempit. Cadangan ini sudah dimajukan kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan pihaknya sedang membuat proses permohonan peruntukan bagi fasa II projek berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada November 2017, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menamakan jambatan ketiga Klang sebagai Jambatan Raja Muda Nala sempena nama putera Sultan Selangor yang pertama.

Jambatan itu menjadi penghubung kepada dua kawasan iaitu Teluk Pulai dan Sungai Bertek di sebelah Selatan dan Tanjung Syawal, di sebelah Utara.

Ia salah satu daripada projek pembangunan utama disempurnakan dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri yang mula dibina pada Julai 2014 dan siap, pada Jun 2017.

Raja Muda Nala adalah putera kepada Sultan Selangor yang pertama iaitu Sultan Sallehuddin Shah.

Apabila Sultan Sallehuddin mangkat pada tahun 1778, putera baginda, Raja Ibrahim, dilantik menjadi Sultan Selangor bergelar Sultan Ibrahim Shah dan melantik adindanya, Raja Nala menjadi Raja Muda Selangor.

 

 

 

 


Pengarang :