OLEH: NAZLI IBRAHIM
GAMBAR OLEH: ASRI SAPFIE
SHAH ALAM, 14 JAN: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pagi tadi semakin mendapat sambutan memberangsangkan apabila disertai lebih 1,000 peserta.
Program yang mula dilancarkan sejak Januari 2017 itu diadakan di Dataran Kemerdekaan dengan menyediakan pelbagai acara menarik.
Selain acara larian dan tarian zumba, acara lain yang disediakan dalam program setiap Ahad minggu kedua setiap bulan itu termasuklah, persembahan pentas seperti nyanyian dan tarian tradisional, perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), kaunter Shah Alam On Wheel, ‘Cat Adoption’ dan kaunter semakan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), gerai produk hijau, pemeriksaan kesihatan dan lain-lain.
Selain itu, program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menawarkan pelbagai aktiviti riadah menarik percuma seperti ‘wall climbing’, ‘sand bag’, ‘tyre loop, ‘cargo net’ dan banyak lagi.
Program ini merupakan inisiatif MBSA ke arah melahirkan warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat disamping mengurangkan penggunaan kenderaan yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida.
Sepanjang program ini orang ramai hanya dibenarkan menggunakan basikal, ‘roller blade’, berbasikal, papan luncur, ‘hover board’, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandaraya dari jam 6.00 hingga 9.00 pagi.
Acara larian, berjalan kaki dan berbasikal pada program pembuka tirai bagi 2018 ini telah dilepaskan oleh Ahli Majlis MBSA, Tan Ah Kau.
Acara larian terbabit melibatkan jarak sejauh lima kilometer dengan 11 hentian yang turut mempunyai aktiviti tersendiri.
=EZY=