SELANGOR

Penduduk Kinrara bakal nikmati kemudahan dewan serbaguna

OLEH SABIRAH AZIZ

PUCHONG, 19 JAN: Penduduk di Bandar Kinrara 5 dan 6 bakal menikmati kemudahan dewan serbaguna yang akan dibangunkan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 3, Jalan Kinrara 5B.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, dewan berhawa dingin dengan keluasan kira-kira satu ekar itu akan dilengkapi tiga gelanggang badminton, gelanggang bola jaring, pentas dan parkir kereta.

“Sebelum ini, penduduk sering bertanya adakah kawasan ini tidak mempunyai dewan serbaguna, maka hari ini saya ingin mengumumkan kawasan ini akan ada kemudahan dewan tidak lama lagi.

“Penduduk juga tidak perlu menyusahkan diri dengan menyewa dewan yang jauh dari tempat tinggal untuk digunakan bagi pelbagai tujuan,” katanya kepada media selepas meninjau tapak pembinaan dewan serbaguna, di kawasan itu.

Sze Han berkata, kos dewan yang akan mempunyai reka bentuk moden itu dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta serta menjadi dewan pertama dibina, di situ.

Katanya, ia adalah sumbangan pemaju INP Group Sdn Bhd yang akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) apabila siap kelak.

“Saya berharap dewan ini segera dibina. Semoga lebih banyak dewan akan wujud di Bandar Kinrara,” katanya sambil menambah pihaknya sentiasa mencari kaedah penyelesaian lain untuk mewujudkan pelbagai kemudahan di kawasan itu.

Sementara itu, Pengurus Projek INP Group, Mohd Bashir Mokhtar berkata, pembinaan dewan itu akan bermula dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

“Ia ekoran kita masih lagi menunggu kelulusan dari pihak berkaitan. Dewan ini juga boleh memuatkan kapasiti kira-kira 500 orang dalam satu masa.

“Kami jangkakan dewan ini akan siap pembinaannya dalam tempoh setahun,” katanya.

 


Pengarang :