SELANGOR

Penduduk nikmati kemudahan Jambatan Raja Muda Nala

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM – Hampir keseluruhan penduduk sekitar Utara dan Selatan Klang sudah menikmati kemudahan Jambatan Raja Muda Nala yang disediakan Kerajaan Negeri walaupun kurang enam bulan pembukaannya.

Manakala, bagi kegunaan harian dianggarkan peratusan pengguna pula sekitar 40 hingga 45 peratus.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sambutan penduduk amat menggalakkan kerana jambatan berkenaan memendekkan jarak dan waktu perjalanan penduduk.

Katanya, manfaat itu memberi kelebihan khususnya kepada penduduk di Kampung Sungai Udang, Kampung Delek, Kampung Rantau Panjang dan taman perumahan sekitar untuk urusan harian.

“Sekiranya dilihat daripada segi pemerhatian, hampir keseluruhan penduduk sekitar kawasan di Utara dan Selatan Klang yang berdekatan melalui jambatan baru ini.

“Ketika ini, kita dapat melihat trafik lancar setiap hari dan pengguna bukan sahaja dari kawasan sekitar tetapi membabitkan pengguna luar kerana ia menghubungkan Utara juga Selatan Klang tanpa perlu melalui Bandar Klang,” katanya.

Bagaimanapun, Zaidy berkata, satu kajian terperinci selepas enam bulan pembukaan jalan akan dilakukan oleh kontraktor projek melalui Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) peringkat 5.

Katanya, kajian yang akan dijalankan itu untuk melihat keberkesanan pembinaannya, bermula pada 2 Februari ini.


Pengarang :