KENYATAAN MEDIA

Pengakuan Najib bukan pengakhiran skandal 1MDB

23 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengejutkan kita dengan pengakuan beraninya bahawa ‘projek mega’ 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal dan salah tadbir urus.

Ternyata dengan pengakuan tersebut, tiada sebab lagi untuk kerajaan menafikan segala kebobrokan yang telah berlaku di dalam 1MDB di mana syarikat tersebut telah merompak kekayaan negara sehingga rakyat terpaksa menanggung beban akibat daripada perbuatan tersebut.

Dalam pada masa yang sama, Najib jangan ingat dengan pengakuan tersebut akan memberi titik noktah kepada skandal terbesar negara dan seterusnya dapat membersihkan semua yang telah dilakukan di dalam 1MDB kerana ianya sudah terlambat.

Pengakuan tersebut bukanlah pengakhirannya, malah ia menimbulkan beberapa persoalan terhadap isu besar ini yang kononnya dahulu didakwa menjana keuntungan dan memberi kebaikan kepada negara sedangkan syarikat tersebut hanya memberi beban hutang sebanyak lebih RM50 bilion.

Apa yang menjadi kemusykilan rakyat, kenapa baru sekarang Najib mengakui kegagalan 1MDB ini? Adakah beliau ingin menunjukkan bahawa beliau tidak terlibat dan ingin meyakinkan rakyat mengenai perkara ini terutama PRU14 yang dijangka tidak lama lagi?

Adakah terdapat ‘udang di sebalik batu’ atau beliau telah mempunyai mangsa untuk ‘dikambing hitamkan’ bagi melepaskan diri beliau dalam skandal terbesar negara ini?

Sejak sekian lama, kerajaan sentiasa mengambil prinsip berdolak-dalik setiap kali isu mengenai 1MDB dibangkitkan. Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen juga turut dilarang untuk menanyakan sebarang persoalan berhubung 1MDB di dalam Dewan Rakyat.

Sekiranya Najib serius dalam pengakuannya mengenai kegagalan 1MDB, sewajarnya laporan akhir pengauditan 1MDB yang kini masih dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), didedahkan kepada khayalak umum.

Dengan tindakan seperti itu, semestinya mereka yang bertanggungjawab terhadap kegagalan 1MDB akan dapat diheret ke muka pengadilan dengan pendedahan laporan audit itu. Najib tidak ada alasan lagi untuk takut mengeluarkan laporan itu daripada OSA kerana beliau sendiri telah mengakui kegagalan 1MDB.

Jika Najib tidak bertindak, saya menggesa untuk beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri dengan kadar segera kerana syarikat 1MDB merupakan syarikat strategik milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan. Malah, Najib juga merupakan bekas pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mana sudah tentu beliau turut terlibat dengan salah tadbir urus yang diperkatakannya itu.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :