GLOBAL

Pengasas IKEA meninggal dunia

GLOBAL 29 JAN: Bilionair yang juga pengasas syarikat perabot gergasi IKEA, Ingvar Kamprad meninggal dunia akibat sakit tua ketika berusia 91 tahun di Sweden.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, pemergian Kamprad adalah sesuatu yang menyedihkan.

IKEA ditubuhkan oleh Ingvar Kamprad di Almmhult, Sweden ketika berusia 17 tahun.

IKEA adalah akronim bagi perkataan ‘Ingvar Kamprad, Elmtaryd, Agunnaryd’ yang merujuk kepada tempat tinggalnya.

“Kami akan sentiasa mengingati dedikasi dan komitmen beliau terhadap orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Inter IKEA, Torbjorn Loof.

Dilahirkan pada 30 Mac 1926 di selatan wilayah Smaland, Sweden, Kamprad mengasaskan syarikat itu pada usia 17 tahun.

Kejayaan awal Kamprad bermula selepas menawarkan harga rendah bagi menyaingi pesaing sedia ada.

Ketika berusia lima tahun, Kamprad mula menampakkan minat terhadap dunia perniagaan apabila menjual mancis di kawasan kejiranan dan kemudiannya mempelbagaikan barang jualan seperti hiasan pokok Krismas, pensel dan pen.

“Beliau seorang usahawan yang berjaya dan kuat bekerja. Beliau bekerja sehingga akhir hayatnya.

“Legasi perniagaan beliau akan sentiasa dikagumi selama bertahun-tahun dan visi beliau mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik kepada kebanyakan orang akan berterusan bagi memberi inspirasi kepada semua,” jelas IKEA.

IKEA kini dikenali dan disukai ramai kerana mengetengahkan rekabentuk senibina moden di dalam bidang perkakasan, perabot dan hiasan dalaman.

 

SUMBER: AFP

 

 


Pengarang :