SELANGOR

Perangsang Selangor ambil alih Century Bond

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN: Pengambilalihan Century Bond Bhd oleh Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) mampu mencipta sinergi baru kepada penstrukturan penswastaan anak syarikat milik Kerajaan Negeri itu.

Laporan portal berita The Edge mendedahkan, pengambialihan baru itu membolehkan syarikat berkenaan memperlebar jaringan perkhidmatannya dengan lebih kompetitif.

“Penswastaan ​​berlaku dalam dua peringkat. Ia bermula pada 11 Ogos 2016, ketika Perangsang Selangor membuat tawaran membeli 85.73 juta saham mewakili 71.44% ekuiti daripada pemegang saham (milik) Century Bond.

“Setelah saham itu diperoleh, Perangsang Selangor meluaskan tawaran am mandatori kepada pemegang saham lain pada harga RM1.75 sesaham,” menurut portal itu lagi.

Terdahulu, perjanjian pengambilalihan yang diketuai Kumpulan CIMB Investment Bank Bhd dengan persetujuan secara bersama dan diperakui beberapa kumpulan panel pelaburan bebas.

Untuk rekod, Century Bond Bhd adalah syarikat pengeluar pembungkusan simen terbesar negara dengan nilai pasaran sebanyak 60 peratus di Semenanjung Malaysia.

Mengulas inisiatif penstrukturan baru itu, panel penilai bebas Public Investment Bank Bhd menyifatkan pengambilalihan itu adalah munasabah seiring kehendak pasaran terkini.

“Tawaran itu agak menarik daripada aspek perspektif penilaian panel penilai,” katanya.

Sementara itu, laporan tersebut juga memaklumkkan langkah penstrukturan itu bakal memberi pulangan permodalan jangka panjang kepada Perangsang Selangor.

Terdahulu, perlu ditegaskan bahawa Century Bond menjana pulangan dalam tempoh lima tahun perniagaan operasinya sebelum ini.


Pengarang :