NASIONAL

Persempadanan semula potensi wujudkan pemerintahan minoriti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpotensi tinggi meninggalkan kesan buruk kepada masa depan negara apabila parti yang mendapat sokongan terbesar rakyat ditewaskan kelompok minoriti.

Ketua Penganalisis Politik dan Sosial, Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata, kelompok terbabit akhirnya akan menubuhkan pemerintahan minoriti yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kuasa sedia ada.

“Sistem pilihan raya kita sangat bahaya, sebab itu saya cadangkan ia ditukar tetapi persempadanan semula lebih bahaya kerana menyebabkan wujudnya pemerintahan minoriti.

“Kerajaan minoriti jika ada keyakinan akan cuba memenangi pengundi tetapi jika merasa terancam, mereka akan memecah belahkan rakyat supaya boleh berkuasa lebih lama dan contoh paling ketara adalah Syria.

“Apabila hilang kuasa, ia menjadikannya lebih kejam dan zalim,” katanya pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), di sini.

Chin Huat berkata, persempadanan semula yang mahu dilaksanakan SPR, pada masa ini jelas menguntungkan Barisan Nasional (BN) dengan memisahkan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Katanya, keadaan itu akhirnya menyebabkan BN mampu menang pilihan raya walaupun tewas dalam aspek undi popular.

“Persempadanan pilihan raya yang cuba dilaksanakan SPR hari ini juga menunjukkan seolah-olah BN merupakan perancang sebenar persempadanan yang dicadangkan itu,” katanya.


Pengarang :